Kategori
Catatan

Ilmu ibarat binatang buruan

Mukadimah

بسم الله الرحمن الرحيم

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مَوْلاَنَا مُحَمَّدٍ النُّوْرِ، اْلمُذْهِبِ لِلنِّسْيَانِ بِنُورِهِ وَعَلَى آلِهِ، فِيْ كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عدَدَ مَا وَسِعَهُ عِلْمُكَ، آمِينَ

صلوات : اْلمُذْهِبِ لِلنِّسْيَانِ بِنُورِهِ

Ilmu ibarat binatang buruan, tulisan ibarat tali pengikat. Maka ikatlah binatang buruanmu dengan tali yang kuat.

Imam Syafie r.a

Petikan kata-kata tersebut memberikan mesej tentang kepentingan membuat catatan agar kita tidak mudah lupa tentang maklumat yang kita terima, baik dalam majlis ilmu atau dalam kehidupan seharian kita.

Bagaimana membuat catatan?

Jawapan mudah. Ambil pen, buka buku dan tulis.

Kedengaran mudah, tetapi ia tidak semudah yang disangka, terutama bila melibatkan buku dan pen.

Catatan terbahagi dua, cara lama dan cara baharu.

Dalam 24 jam, boleh dikatakan masa bersama telefon bimbit lebih banyak berbanding buku catatan.

Namun, secara tidak langsung kita sebenarnya sudah lama membuat catatan tentang sesuatu perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Ya, melalui media sosial.

Bila ada sesuatu aktiviti, kejadian, berita, berkaitan emosi dan perasaan, majoriti individu yang ada akaun media sosial akan menulis posting dalam media sosial masing-masing.

Ada beberapa platform media sosial seperti facebook akan mengeluarkan satu siaran ulang tahun atau peringatan berkenaan posting yang terdahulu, sekaligus mengingatkan kita tentangnya.

Mungkin kita boleh kategorikan kaedah ini sebagai cara baharu dalam membuat catatan.

Selain itu, semenjak dunia kita dilanda crisis covid-19, kita terpaksa beralih daripada suasana bekerja secara bersemuka kepada dalam talian dengan menggunakan pelbagai aplikasi seperti google meet, zoom, e-mel, microsoft office web dan seumpamanya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, aku ada menghasilkan beberapa projek sederhana menggunakan google data studio, dan beberapa aplikasi dalam google workspace. Jujur, jika aku ditanya pada waktu ini, sudah pasti aku tidak mampu mengingat semua kod, formula bagi setiap projek yang dihasilkan.

Cara paling mudah ialah dengan merujuk semula aliran kerja, kod sumber, formula projek-projek yang terdahulu.

Sebagai contoh, aku ingin mewujudkan fail google spreadsheet yang mempunyai seperti kriteria seperti di bawah;

BilDeskripsi
1Nombor akan tertera secara automatik dalam kolum A (Bil) apabila bahagian ini diisi.

Anggap sahaja aku sudah lama tidak menggunakan google spreadsheet, boleh jadi aku sudah lupa dengan formula tersebut. Cara yang paling mudah ialah dengan merujuk semula kerja yang pernah dihasilkan.

=ARRAYFORMULA(IF(ROW(A:A)=1,"Bil",IF(B:B<>"","",ROW(A:A)-1)))

Cara lama ada nilai tersendiri.

Cara baharu mungkin simple dan mudah, tetapi cara klasik tetap memiliki ‘sesuatu’ yang sukar diungkapkan.

Aku melihat Almarhum Abuya Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki rah selalu bersama dengan pen, buku nota kecil dan kayu sugi.

Menurut sebahagian murid, Almarhum Abuya kebiasaannya akan membuat catatan perkara-perkara yang penting, ilham, idea atau maklumat dalam buku nota beliau. Setiap buku diberikan jilid dan akan disimpan sebagai rujukan pada masa akan datang.

Membaca catatan hasil tulisan tangan sendiri atau seseorang akan memberikan perasaan yang tersendiri. Anda mungkin boleh cuba membaca tulisan dalam buku sekolah anak-anak anda untuk merasai pengalaman tersebut.

Kesimpulannya, maklumat yang dicatat di atas kertas atau secara digital boleh memberikan manfaat jika kita bijak mengurus dan menggunakannya.

Apa yang paling penting, catatan itu berperanan untuk membantu kita mengingati sesuatu yang telah kita catatkan.

Umpama binatang buruan yang sukar untuk kita dapatkan, perlu diikat dengan tali yang kuat agar binatang buruan itu tidak mudah terlepas.

Maka, dengan berkat basmalah dan selawat ke atas Baginda Nabi ﷺ, aku mulai pengisian pada blog ini. Semoga ada manfaatnya.